Home > News Development > BP Healthcare wujud pusat diagnostik
 
 
  BP Healthcare wujud pusat diagnostik

Posted on 20 May 2008

KUMPULAN BP Healthcare, penyedia penyelesaian penjagaan kesihatan, merancang memiliki 100 cawangan pusat diagnostik di seluruh negara menjelang 2010 sebagai antara strategi pengembangannya.

Pusat diagnostik BP Healthcare yang beroperasi menerusi anak syarikatnya, BP Diagnostic Centre Sdn Bhd adalah rangkaian perkhidmatan penjagaan kesihatan menyeluruh, selain hospital pertamanya di negara ini.

Ketua Eksekutif Penyelesaian Perniagaannya, Reuben Poh, berkata kumpulan itu sudah membuka 25 pusat diagnostik di seluruh negara dan merancang memiliki 50 pusat serupa sebelum akhir tahun ini.


Katanya, pembukaan lebih banyak pusat diagnostik berkenaan adalah sejajar aspirasi kumpulan untuk menjadi penyedia penyelesaian penjagaan kesihatan pilihan utama di negara ini.

Beliau berkata, setiap cawangan pusat diagnostik yang akan dibuka itu dijangka membabitkan pelaburan antara RM1 hingga RM10 juta, bergantung kepada saiz serta teknologi penjagaan kesihatan yang disediakan cawangan berkenaan.

"Kami yakin mampu mencapai sasaran itu kerana orang ramai mula prihatin dengan kepentingan penjagaan kesihatan, sekali gus menjadikan industri ini semakin berkembang," katanya ketika ditemui Berita Harian di Cheras, baru-baru ini.


Poh berkata, pihaknya komited dalam menyediakan penyelesaian penjagaan kesihatan terbaik kepada pelanggannya, justeru, sebahagian besar pelaburannya kini adalah bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Katanya, syarikat juga menyediakan modul latihan berkualiti tinggi untuk kakitangannya bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada pelanggan.

"Kami juga akan menukar beberapa cawangan pusat diagnostik BP Healthcare kepada Pusat Pakar Diagnostik dengan pengambilan beberapa pakar perubatan ke dalam kumpulan," katanya.