Home > News Development > Kumpulan BP Healthcare sasar lebar operasi
 
 
  Kumpulan BP Healthcare Sasar Lebar Operasi

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Selepas 25 tahun beroperasi dalam industri kesihatan, Kumpulan BP Healthcare kini mahu dikenali sebagai Pusat Diagnostik BP (BPDC), pusat sehenti bagi penjagaan kesihatan bukan hospital di Malaysia.

Pengerusi dan pengasas Kumpulan BP Healthcare, Datuk Beh Chun Chuan berkata, sudah sampai masanya kumpulan itu melebarkan operasinya kerana memiliki kelengkapan dan kemudahan yang mencukupi sebagai sebuah pusat diagnostik.

Beliau berkata, BPDC menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, penjagaan kesihatan berkala, rawatan, perundingan dan diagnostik.

Bagi melengkapkan perkhidmatan yang disediakan, syarikat itu juga memiliki makmal kesihatan dan farmasi, tambahnya.

"Mulai tahun ini, Kumpulan BP Healthcare mahu menjadi seperti 7-Eleven yang boleh dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat untuk mendapatkan apa juga perkhidmatan penjagaan kesihatan," katanya dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia.

 
Menurut beliau, kumpulan itu kini memiliki 25 buah cawangan BPDC akan menambah pusat itu kepada 100 buah di seluruh negara menjelang tahun depan.

Chun Chuan berkata, syarikat itu juga akan melabur antara RM1 juta hingga RM10 juta bagi setiap sebuah BPDC.

Mengulas lanjut jumlah pelaburan yang bakal dikeluarkan itu, beliau berkata, peluasan yang dibuat oleh kumpulan itu adalah tepat kerana permintaan bagi pusat perkhidmatan kesihatan di negara ini semakin bertambah berikutan kesedaran tinggi tentang kesihatan di kalangan rakyat Malaysia.

"Kami membuat pelaburan besar kerana yakin dengan pasaran dan percaya mampu menguasainya kerana sasaran pelanggan kumpulan ini adalah di kalangan mereka yang mahu pencegahan sebelum sakit.

"Setakat ini, saya boleh katakan Kumpulan BP Healthcare adalah penyedia perkhidmatan kesihatan terbesar seumpamanya di rantau ini," kata beliau.

Chun Chuan berkata, di Malaysia mungkin konsep BPDC masih dianggap baru namun ia begitu popular di Amerika Syarikat dan Eropah.

Mengenai strategi jangka panjang perniagaannya, beliau berkata, Kumpulan BP Healthcare mempunyai perancangan untuk meluaskan operasi mereka di Asia dan Eropah.

Beliau juga tidak menafikan sedang mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak tertentu namun enggan mengulas lanjut.